Thursday 11 November 2010

Perlu ramai pemandu pelancong mahir

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Negara memerlukan lebih ramai pemandu pelancong mahir bagi memenuhi permintaan sektor ekopelancongan yang semakin mendapat sambutan. Menteri Pelancongan, Datuk Dr. Ng Yen Yen berkata, untuk itu, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi melatih pemandu pelancong mahir. "Setakat ini, Malaysia mempunyai 4,000 pemandu pelancong namun ia tidak khusus kepada sesuatu kawasan. "Justeru, kita perlu melatih mereka dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong," katanya selepas melawat pameran Ekopelancongan Malaysia 2010 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Pameran tersebut yang berlangsung selama 14 hari berakhir 22 November ini mempamerkan tempat-tempat ekopelancongan yang menarik di negara ini. Menurut Yen Yen, Malaysia mempunyai produk ekopelancongan yang kaya dengan sumber semula jadi serta hidupan liar namun kekurangan pemandu pelancong mahir menyebabkan sektor pelancongan negara terjejas. "Mereka perlu mahir dengan sesuatu tempat kerana pemandu pelancong berperanan menyalurkan apa jua maklumat dan penerangan yang tepat kepada pelancong. Cara persembahan, kemahiran dan pengetahuan mereka semasa memberi penerangan mengenai tempat-tempat yang sedang dilawati mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.