Wednesday 24 November 2010

Pendapatan inap desa meningkat tiga kali ganda

KOTA KINABALU 23 Nov. - Pendapatan industri inap desa Sabah menunjukkan peningkatan tiga kali ganda kepada RM2.2 juta tahun lalu berbanding hanya RM528,759 ketika ia mula diperkenalkan pada 2006. Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ellron Alfred Angin berkata, pada 10 bulan pertama tahun ini, industri tersebut merekodkan pendapatan RM1.9 juta membabitkan kehadiran 12,601 pelancong.

"Setakat Oktober lalu hanya terdapat 237 peserta inap desa berdaftar membabitkan 19 kampung di 12 daerah di negeri ini. "Pada 2006, hanya 5,152 pelancong bercuti di inap desa tetapi pada tahun lalu ia meningkat kepada 15,244 orang," katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini. Beliau menjawab soalan lisan Datuk Justin Guka (BN-Bingkor) mengenai bantuan yang diberikan kerajaan kepada pemilik-pemilik inap desa bagi memajukan industri tersebut di negeri ini.

Ellron berkata, selain memberikan latihan melalui kursus asas pengurusan inap desa, kerajaan juga membantu menaik taraf infrastruktur asas dan kemudahan kepada pelancong di kawasan luar bandar. Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kerajaan Persekutuan dan negeri telah meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi menaik taraf dan menyediakan kemudahan pelancongan di kawasan inap desa. "Sebanyak RM1.1 juta telah digunakan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di inap desa Papar, Tuaran, Kudat, Kinabatangan dan Ranau.

"Selain itu, sebanyak RM555,000 telah diberikan sebagai bantuan menaik taraf tandas dan bilik mandi di 111 rumah peserta inap desa berdaftar yang layak iaitu RM5,000 setiap peserta. ''Bantuan lain termasuk membina papan tanda di 16 kawasan inap desa membabitkan peruntukan RM250,000, kursus kepada peserta inap desa (RM400,000) dan promosi (RM70,000)," katanya. Menurutnya, bantuan yang dinyatakan itu tidak termasuk program pembangunan lain seperti pembinaan jalan raya dan penyediaan bekalan air serta elektrik oleh agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.