Tuesday 16 November 2010

NASA berkampung di Melaka

MELAKA 15 Nov. - Orang ramai berpeluang mempelajari ilmu sains astronomi dan teknologi angkasa lepas pada Karnival NASA@Planetarium Melaka Space Air 2010 yang akan diadakan di Planetarium Melaka dari 22 hingga 28 November ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, karnival selama seminggu itu turut memberi peluang kepada orang ramai terutama pelajar untuk berinteraksi dengan saintis dan jurutera misi angkasa lepas daripada Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA). Katanya, tujuh saintis termasuk jurutera misi angkasa lepas NASA didatangkan khas untuk karnival yang pertama kali diadakan di negara ini bertujuan memberikan pendedahan mengenai aeroangkasa.

''Lebih penting, karnival seminggu ini akan membolehkan orang ramai dan pelajar mendalami ilmu sains astronomi dan teknologi angkasa lepas. ''Mereka akan diberi peluang berinteraksi dengan tujuh saintis termasuk jurutera misi angkasa lepas dari NASA mengenai teknologi angkasa lepas. ''Peluang keemasan ini harus direbut oleh pelajar bagi menimba ilmu yang sewajarnya kerana mereka akan mempelajari sesuatu yang baru mengenai bidang sains angkasa dan astronomi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima cek penajaan RM200,000 daripada Malayan Banking Berhad (Maybank) di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Karnival tersebut adalah anjuran Planetarium Melaka Sdn. Bhd. dengan kerjasama kerajaan negeri. Pasukan NASA akan diketuai oleh saintis terkemuka, Dr. Madhulika Guhathakurta, Margaret Srinivasan, Thomas E. Nolan, Dr. Nat Gopalswamy, Kristen Ann Edwards, Deborah King Scherrer dan Paulo Younse. Mohd. Ali berkata, lebih menarik orang ramai turut berpeluang mengetahui mengenai operasi NASA, robot dan kaedah yang digunakan meneroka angkasa lepas. Di samping itu katanya, beberapa bengkel akan diadakan melibatkan saintis dan jurutera dari NASA dengan beberapa tajuk seperti 'The Sun and Us', 'Astronomy In The New Milenium' dan 'Climate and Natural Hazards'.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Planetarium Melaka Sdn. Bhd., Nurshaidah Abdul Rahim berkata, beberapa aktiviti pameran dan taklimat turut diadakan bagi memeriahkan karnival berkenaan. Menurutnya, karnival itu akan dibuka kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum.
Katanya, harga tiket yang ditetapkan untuk bayaran masuk adalah RM8 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.