Wednesday 24 November 2010

Muzium Pulau Besar dibuka kepada orang ramai

MELAKA 23 Nov. - Hasrat kerajaan negeri untuk menubuhkan sebuah muzium di Pulau Besar di sini sejak setahun lalu menjadi kenyataan apabila ia mula dibuka kepada orang ramai mulai semalam. Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Wira Hamdin Abdollah berkata, Muzium Pulau Besar bernilai kira-kira RM2 juta itu menghimpunkan pelbagai artifak yang ditemui di pulau tersebut. Menurutnya, selain itu muzium yang merupakan cawangan ke-23 Perzim tersebut turut menyediakan pelbagai bahan yang menceritakan sejarah mengenai pulau yang berkeluasan 168 hektar itu.

"Diharapkan, Muzium Pulau Besar ini akan melengkapkan lagi pulau yang mempunyai tarikan tersendiri ini sebagai sebuah lokasi pelancongan menarik pengunjung dari dalam dan luar negara. "Banyak maklumat tentang Pulau Melaka dipamerkan di muzium ini antaranya tokoh Islam seperti Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail dan peranan Pulau Besar sebagai pusat bekalan air kepada pelayar dari China dan Eropah semasa berada di Selat Melaka," katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau Muzium Pulau Besar di pulau tersebut yang mula dibuka kepada orang ramai semalam. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pulau Besar, Datuk Omar Kaseh dan Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas.

Menurut Khamis, Muzium Pulau Besar dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan mengenakan bayaran sebanyak RM3 bagi setiap dewasa manakala RM1 bagi kanak-kanak. "Muzium yang terletak berhampiran dengan jeti Pulau Besar ini turut mempamerkan beberapa artifak dari Indonesia yang dapat mengembalikan semula kegemilangan Melaka suatu ketika dahulu yang terkenal di seluruh dunia," katanya.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.