Tuesday 16 November 2010

Ekspo pelancongan Malaysia di langkawi

LANGKAWI 15 Nov. - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) memilih Langkawi sebagai tuan rumah Ekspo Pelancongan Malaysia (Mtex) untuk tiga tahun berturut-turut, mulai tahun depan. Presiden Matta, Datuk Mohd. Khalid Haron berkata, pemilihan itu adalah untuk memajukan industri pelancongan bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke pulau peranginan ini dan Malaysia.
"Kami yakin pemilihan itu akan menyemarakkan industri pelancongan selaras dengan kedudukan Langkawi sebagai destinasi menarik," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Mtex 2011 di sini hari ini.

Mtex 2011 yang akan diadakan selama lima hari mulai 23 Mei depan termasuk dua hari untuk peniaga dan tiga hari sesi lawatan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri Langkawi di Padang Matsirat di sini. Selain itu, mereka turut menubuhkan jawatankuasa pengelola dengan Pengerusi bersama Mohd. Khalid dan wakil Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) manakala Pengerusi Matta Kedah, Pishol Ishak dan Naib Presiden Matta, Arul Dass dilantik sebagai pengerusi bersama jawatankuasa kerja.

Beliau berkata, sebanyak 200 hingga 250 gerai akan diadakan untuk mempamerkan produk pelancongan dan pakej di Langkawi dan Malaysia. Katanya, ini adalah julung kali Langkawi diberi penghormatan menganjurkan Mtex, selepas Matta pernah dua kali mengadakannya, yang pertama di Melaka pada April 2007 dan Kuala Lumpur Mei 2008 yang mendapat kejayaan membanggakan. Lebih 100 ejen pelancongan, pengusaha perhotelan dari dalam dan luar negeri akan menyertai ekspo anjuran bersama Matta dan Lada itu.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.