Tuesday 30 November 2010

3 inisiatif utama tingkat pelancongan Johor

NUSAJAYA 29 Nov. - Kerajaan negeri menggariskan tiga inisiatif utama bagi menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan terunggul dan berkualiti dalam tempoh lima tahun ini. Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Hoo Seong Chang berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada pengembangan produk bernilai tinggi. Katanya, inisiatif berkenaan adalah meningkatkan sumber manusia berkualiti, mewujudkan produk pelancongan dan menyediakan pelan pemasaran pelancongan yang efektif.

"Untuk inisiatif pertama, pakatan strategi dan perkongsian pintar antara kerajaan negeri dengan institusi latihan berkaitan pelancongan di negeri ini akan dipertingkatkan," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bagi menjawab soalan Datuk Tee Siew Kiong (BN-Pulai Sebatang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-12, di sini hari ini. Katanya, antara institusi yang menawarkan kursus pelancongan adalah Reliance College Sdn Bhd, Kolej Hospitaliti YPJ, SF Tourisam Academy Sdn Bhd, dan Git Academy Sdn Bhd. Seong Chang berkata, untuk inisiatif kedua, kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Johor akan menjalankan kajian bagi menyediakan satu pelan induk pelancongan yang menggariskan hala tuju industri pelancongan. Menurutnya, pelan tersebut bakal dimulakan pada suku tahun kedua 2011 dan akan menjadi pelengkap kepada pelan induk pelancongan Iskandar Malaysia.

"Di bawah inisiatif kedua, fokus akan diberikan kepada sembilan teras pelancongan iaitu eko, warisan, agrotourism dan inap desa, pantai dan pulau, sukan, M.I.C.E (mesyuarat, insentif, konvensyen dan ekspo), golf, makanan dan membeli-belah serta kesihatan," katanya. Katanya, daripada sembilan teras pelancongan itu, kerajaan akan memberi keutamaan kepada 15 inap desa dan 10 produk pelancongan yang dipilih sebagai ikon pelancongan negeri. Beliau berkata, antaranya ialah Bangunan Sultan Ibrahim, Kota Iskandar, Muzium Diraja Sultan Abu Bakar, Pulau Rawa, Pulau Sibu, Danga Bay dan Taman negara Johor Endau Rompin.

Sementara itu, untuk inisiatif ketiga, kerajaan bersama pihak swasta akan mempertingkat dan meneruskan program pemasaran serta promosi produk pelancongan secara agresif di peringkat domestik dan antarabangsa. Beliau berkata, antara gerak kerja yang dirangka adalah menganjurkan Fam-Trip, mengadakan pameran pelancongan di dalam dan luar negara, meningkatkan promosi dan pemasaran inap desa serta mempromosikan acara bertaraf nasional dan antarabangsa.
-Utusan Online.
www.tourismjohor.com

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.