Monday 4 October 2010

Kelip-kelip sinari Ramuan China

ALOR GAJAH 3 Okt. - Peninggalan sejarah zaman British, Portugis dan Belanda di Banda Hilir menjadikan Melaka sebagai satu destinasi yang menarik untuk dikunjungi pelancong. Keunikan sejarah itu juga membolehkan Melaka mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Tidak dinafikan pengiktirafan itu seiring dengan status negeri ini sebagai salah satu negeri pelancongan yang terbaik di Malaysia. Antara lokasi pelancongan yang sering mendapat perhatian pelancong adalah di Jonker Walk, Makam Hang Tuah, Menara Taming Sari, Kota A'Famosa, Eye On Malaysia dan pusat membeli-belah di Dataran Pahlawan.

Keistimewaan Melaka ini terserlah dengan adanya pelbagai program atau majlis yang memperkenalkan budaya negeri ini dan juga Malaysia. Begitupun, tarikan pelancongan di negeri ini tidak hanya tertumpu di pusat bandar semata-mata kerana di luar bandar juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Terbaru, Sungai Rembau di Ramuan China Besar, Masjid Tanah menyajikan panorama yang begitu menakjubkan. Jika menyusuri sungai itu, pengunjung berpeluang melihat sejenis serangga bernama kelip-kelip atau dikenali juga sebagai kunang-kunang.

Keindahan panorama kelip-kelip di sungai tersebut setanding dengan di Tanjung Piai, Pontian, Johor dan Kampung Kuantan, Kuala Selangor. Sungai Rembau yang mengalir melalui Ramuan China hingga ke Selat Melaka bakal menjadi destinasi pelancongan luar dari bandar raya ini jika dimajukan dan dipromosikan dengan lebih giat lagi. Kelip-kelip adalah sejenis serangga yang cukup unik kerana abdomen ekornya yang bercahaya seperti lampu. Ia mengeluarkan kerlipan cahaya berwarna hijau sebanyak tiga kali dalam masa satu saat secara serentak. Bagi kelip-kelip jantan pula ia mengeluarkan cahaya yang lebih terang berbanding kelip-kelip betina. Mengikut kajian saintifik, setiap kelip-kelip hanya mempunyai jangka hayat dua hingga tiga bulan.
Begitupun kelip-kelip lebih gemar berada di pokok berembang kerana ia menjadi sumber makanan utama serangga itu. Kelip-kelip akan menghisap cecair yang dikeluarkan oleh pokok tersebut.

Masa yang sesuai untuk melihat kelip-kelip adalah mulai pukul 7 petang hingga lewat tengah malam kecuali pada waktu hujan. Tinjauan Utusan Malaysia di sungai melalui perjalanan sejauh tiga kilometer mendapati beratus-ratus kelip-kelip menghiasi pokok berembang seumpama bintang di langit. Sekiranya pengunjung mengunjungi destinasi ini, perjalanan akan bermula dengan menaiki sampan menyusuri Sungai Rembau di Ramuan China. Semasa perjalanan itu, pengunjung bakal menyaksikan keindahan kerlipan kelip-kelip yang menakjubkan dalam suasana alam semula jadi. Tidak dinafikan sepanjang perjalanan menyusuri sungai tersebut kira-kira pukul 7 malam mendapati kawasan itu dipenuhi dengan kelip-kelip. Kelip-kelip dilihat begitu jinak ketika cuba ditangkap.

Tidak dinafikan kawasan itu belum dibangunkan lagi untuk dijadikan destinasi pelancongan kerana khazanah daripada sungai tersebut hanya diketahui di kalangan penduduk setempat.
Di sebalik keunikan kelip-kelip, Sungai Rembau di situ juga menjadi sumber rezeki nelayan darat yang mencari udang, pelbagai spesies ikan air tawar dan ketam nipah. Terdapat juga pelbagai spesies siput seperti siput sedut, roman dan lokan yang menanti pengunjung di Taman Lokan, milik seorang bekas anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Zainal Md. Ali, 57.
Taman Lokan yang diusahakan oleh Zainal itu boleh dikunjungi pengunjung pada sebelah malam jika mereka mahu menyaksikan kelip-kelip. Selain itu, pengunjung juga dapat melihat ikan belacak yang gemar bermain di akar-akar kayu pokok bakau serta beratus-ratus ekor ketam batu sedang membina sarangnya.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.