Tuesday 19 October 2010

58 pelancong Singapura sertai inap desa Kampung Seterpa

KOTA BHARU 18 Okt. - Seramai 58 pelancong dari Singapura menghayati kehidupan masyarakat Kelantan dengan menyertai program inap desa di Kampung Seterpa, Peringat di sini yang berakhir semalam. Kesemua mereka tinggal bersama keluarga angkat dan mengikuti cara hidup masyarakat tradisional di kampung tersebut selama tiga hari bermula Jumaat lalu. Seorang peserta, Nancy Ee, 65, yang kali pertama menyertai program tersebut berkata, dia berasa teruja kerana dapat tinggal bersama keluarga angkat dan menikmati suasana kampung yang tidak terdapat di negaranya. "Kami dilayan seperti saudara sendiri. Keluarga angkat menyediakan pelbagai kemudahan malah mereka memberikan kesempatan kepada saya dan rakan-rakan lain untuk merasai sendiri suasana kehidupan kampung.

"Selain itu, saya juga dapat menikmati nasi berlauk yang tidak terdapat di negeri-negeri lain di negara ini. Kami juga menyertai persembahan kebudayaan termasuk bersama-sama berdikir barat dengan penduduk tempatan," katanya ketika ditemui di sini semalam. Dia bersama 57 lagi rakannya merupakan sebahagian daripada 160 pelancong Singapura yang mengikuti program berkenaan yang ditempatkan di tiga buah kampung di negeri ini. Sementara itu Hoe Lai Hue, 40, berkata, suasana di kampung itu jauh berbeza dengan negaranya yang penuh dengan pembangunan sehingga kampung tradisi hilang ditelan zaman. "Di Singapura suasana kampung tidak lagi dapat dinikmati sehingga kanak-kanak terpaksa pergi ke zoo untuk melihat ayam dan itik. Di Kampung Seterpa kebanyakan haiwan boleh dilihat sebaik sahaja tingkap rumah dibuka.
"Masyarakat di sini begitu mesra, mereka membantu kami supaya pengalaman berada di kampung benar-benar dirasai oleh para peserta," katanya.

Seorang arkitek, Tham Chan Wah, 80, berkata, penyertaannya dalam program lawatan itu lebih merupakan perjalanan kenangan ke tempat kerjanya di Kota Bharu kira-kira 50 tahun lalu.
"Saya terlibat dalam pembinaan sebuah hotel di bandar ini, saya datang kembali untuk melihat keadaannya, masih ada tetapi berubah. Tidak apa, ini perkara biasa. "Kota Bharu juga berubah tetapi cara hidup tradisi masih ada, ia disesuaikan dengan keadaan semasa. Ini merupakan pengalaman yang berharga sambil bercuti dapat mengembalikan nostalgia lama," katanya.

Sementara itu seorang ahli jawatan kuasa program inap desa Kampung Seterpa, Solahuddin Hamzah, 57, berkata, program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelancong. Katanya, ia disebabkan promosi secara tidak langsung yang dilakukan oleh peserta apabila mereka kembali ke tempat asal masing-masing. "Disebabkan mereka berpuas hati dengan layanan yang diberikan, kami mendapat promosi secara percuma. Pengalamannya di sini mereka sampaikan kepada rakan-rakan membuatkan ramai yang datang ke sini. "Kami akan memastikan kualiti inap desa di sini dijaga supaya ia akan diingati oleh para pelancong dan membuatkan mereka kembali semula selepas ini," katanya.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.