Saturday 4 September 2010

Tempahan penerbangan merosot

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Kadar tempahan penerbangan dan pakej percutian ke Indonesia menurun ketara sejak berlakunya demonstrasi anti-Malaysia terutama oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) Indonesia. Para pengusaha agensi pelancongan yang dihubungi merungut kerana terpaksa menanggung kerugian akibat keadaan itu yang disebabkan kebimbangan rakyat negara ini terhadap faktor keselamatan ketika berada di Indonesia.

Pegawai Penempah Tiket YGMB-Asha Holidays Sdn. Bhd., Zuriah Ismail berkata, hampir kesemua tempahan pakej percutian dan tiket penerbangan ke destinasi popular di Indonesia dibatalkan sejak tercetusnya siri demonstrasi anti-Malaysia. "Pelanggan kami berbuat demikian kerana mereka risau dengan keselamatan diri apabila berada di Indonesia terutama dalam keadaan sekarang ini. "Berdasarkan kepada faktor ini, kami juga telah menghentikan sebarang urusan penerbangan atau pelancongan ke Indonesia dan hanya menguruskan hal-hal berkaitan urusan kerajaan ke sana sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, perkara sama turut diakui Pengurus AAM Travel Sdn. Bhd., Zurina Mohd. Zakaria Khan yang merungut kerana kadar tempahan penerbangan serta pakej percutian ke Indonesia yang diuruskan syarikatnya semakin menurun. "Berdasarkan kepada statistik penjualan tiket, agensi kami telah mencatatkan penurunan yang ketara dalam tempahan penerbangan serta pakej percutian ke Indonesia sejak berlakunya demonstrasi tersebut. "Oleh sebab itu, kami telah mengambil langkah menghentikan sementara urusan penerbangan serta percutian ke Indonesia kerana tidak mahu menanggung kerugian," jelasnya.

Bagi Pengurus Akaun Z'tronic Holiday Sdn. Bhd., Richard Hoo pula, beliau amat kesal dengan apa yang berlaku kerana ia boleh menjejaskan sektor pelancongan kedua-dua negara. "Saya berharap perkara ini tidak berlarutan kerana jelas sekali ia telah menjejaskan operasi perniagaan agensi-agensi pelancongan di Malaysia," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.