Wednesday 29 September 2010

Produk pelancongan terbaru

MELAKA 28 Sept. - Kampung Sungai Duyung menjadi satu lagi produk pelancongan negeri yang dikenali Perkampungan Hang Tuah melibatkan kos projek sebanyak RM135 juta. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, fasa pertama projek yang keseluruhannya melibatkan empat fasa itu dijangka dimulakan hujung tahun ini sebaik sahaja permohonan peruntukan Kerajaan Pusat menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) diluluskan. Beliau berkata, projek seluas 24 hektar itu merupakan usaha terbaru kerajaan negeri untuk mengalih tumpuan pelancong terhadap produk pelancongan negeri di kawasan pusat bandar yang menceritakan sejarah Melaka secara keseluruhannya.

"Sudah tiba masanya, kita beri tumpuan secara mikro iaitu Hang Tuah yang begitu sinonim dengan Melaka berbanding produk pelancongan lain yang berdekatan pusat bandar yang menceritakan sejarah Melaka secara keseluruhan. "Kita memohon peruntukan RM135 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi kos projek ini dan kalau permohonan ini diluluskan November ini, pada Disember kita sudah boleh keluarkan tender projek," katanya. Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa selama hampir sejam melawat beberapa tapak cadangan pembangunan Perkampungan Hang Tuah bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa negeri, Mohd. Zaki Ibrahim. Turut menyertai lawatan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Yusuf Jantan. Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, projek bagi fasa pertama dijangka siap dalam tempoh dua tahun dari tarikh dimulakan dan mengambil masa lima tahun untuk menyiapkan keempat-empat fasa.

"Antara tarikan utama yang akan dibina adalah kapal Mendam Berahi, muzium, galeri, gelanggang silat, pusat jualan barangan antik dan kraf tangan, rumah lima pahlawan dan perkampungan zaman Kesultanan Melayu Melaka. "Sebanyak 20 daripada 60 rumah penduduk di Kampung Duyung juga akan diperbaiki atau dinaik taraf untuk dijadikan produk pelancongan selain turut memindahkan 25 rumah tradisional bercirikan Melayu Melaka yang terdapat di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah," katanya. Menurutnya, kos penyelenggaraan dan penjagaan kesemua 45 rumah itu akan ditanggung sepenuhnya Perzim dan pemilik rumah boleh terus memiliki rumah mereka. Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan sekiranya ada penduduk yang ingin menjual tanah dan rumah mereka di kampung tersebut.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.