Thursday 16 September 2010

Muzium Tentera Laut, Hotel Terapung Mercu Tanda Baru Bandar Lumut

LUMUT: Kompleks muzium Tentera Laut dan hotel terapung bertaraf empat bintang bernilai RM160 juta akan menjadi sebuah lagi kawasan destinasi tarikan terbaru pelancongan di sini apabila kerajaan negeri Perak bersetuju melantik syarikat Plus Asia Jaya Sdn Bhd (PAJ) untuk memajukannya. Pengerusi PAJ Datuk Abdul Wahab Azizul Hassan berkata projek itu akan dibina di sebuah kawasan seluas hampir 1.99 hektar yang terletak bersebelahan Taman Rekreasi Awam Lumut di sini. "Kompleks pelancongan terbaru itu akan dilengkapi dengan sebuah muzium terapung iaitu sebuah kapal perang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah dilucut tarafkan sebelum diserah kepada Kerajaan Negeri 22 Januari tahun lepas.

"Kapal Ex-Rahmad merupakan kelas friget pelbagai guna yang telah berkhidmat lebih 32 tahun dengan TLDM. Kapal yang mempunyai kepanjangan 93.9 meter dan lebar 10.4 meter itu akan dijadikan monumen sejarah dan rekreasi," katanya kepada pemberita di sini Khamis. Beliau berkata selain itu, syarikat berkenaan juga akan membina sebuah hotel terapung bertaraf empat bintang setinggi 25 tingkat dengan 310 bilik. Abdul Wahab berkata majlis pecah tanah projek itu akan disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada 3 petang Sabtu ini.

Abdul Wahab yang juga merupakan Orang Besar Jajahan Manjung berkata kompleks pelancongan itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan bakal menjadi mercu tanda terbaru di sini. "Dewan banquet di hotel berkenaan juga merupakan yang terbesar di negeri ini dan mampu menampung 1,500 orang untuk majlis makan malam atau keraian, manakala seramai 2,500 orang untuk program persidangan. "Sebuah restoran terapung dua tingkat, 45 unit kedai pejabat tiga tingkat, Dataran Rahmat dan kemudahan tempat meletak kenderaan bawah tanah turut dibina di situ," katanya. Abdul Wahab berkata selain itu kemudahan bot persiaran untuk pelancong menikmati keindahan Sungai Dinding dan paya bakau turut disediakan.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.