Friday 17 September 2010

Industri Pelancongan Negara Jana RM1 Bilion Seminggu Tahun Lalu

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM1 bilion dalam seminggu melalui industri pelancongan pada tahun lalu. Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Ng Yen Yen berkata, jumlah itu sangat memberangsangkan kerana ia mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Ng berkata, secara purata, pada tahun 2009, industri pelancongan negara berjaya meraih pendapatan sehingga RM54 bilion dengan kehadiran pelancong asing sebanyak 23 juta orang.

"RM1 bilion seminggu adalah satu jumlah yang amat besar dan ia mampu menjana pertumbuhan ekonomi dengan lebih berkesan. Kehadiran pelancong juga menunjukkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus berbanding tahun 2008. Peningkatan ini perlu diteruskan," katanya ketika merasmikan Pesta Pelancongan Tanglung 2010 di Pasar Seni di sini, Jumaat. Malah katanya, pada tahun lalu sahaja, dari September hingga Oktober, jumlah pelancong yang datang ke negara ini mencecah 1.99 juta orang berbanding 1.59 juta pelancong pada tahun sebelumnya. Dalam pada itu, Ng berkata, atas dasar tersebut, Kementerian Pelancongan telah mengambil inisiatif dengan menawarkan pakej istimewa kepada pelancong bagi menarik perhatian mereka datang melancong ke negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, Pesta Pelancongan Tanglung 2010 yang masuk tahun kedua penganjuran telah berjaya menarik perhatian lebih 30,000 pelancong pada tahun pertama penganjurannya pada 2009. Program usahasama Kementerian Pelancongan bersama 100 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina, Melayu dan India diadakan bukan sahaja untuk meraikan kedatangan pesta musim bunga tetapi untuk memupuk semangat 1Malaysia dikalangan rakyat Malaysia. "Kebetulan pesta tanglung disambut dalam bulan sama masyarakat Melayu meraikan Hari Raya Aidilfitri, jadi sambutan pesta tanglung pada tahun ini lebih meriah," katanya.

Katanya, dengan semangat 1Malaysia, ia mampu menarik minat pelancong asing dan belajar mengenai budaya semangat 1Malaysia yang disemai dalam masyarakat tempatan. Pada majlis sama, pihak penganjur juga turut memberikan cenderahati kepada 5,000 pengunjung yang hadir ke pesta itu.

-mstar online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.