Monday 19 July 2010

Ekopelancongan Tarikan Baru: Ng

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan menyasarkan kehadiran 36 juta pelancong asing ke negara ini menjelang 2020 berbanding 23.7 juta tahun lalu berikutan pelancaran pelbagai produk terbaru pelancongan khususnya ekopelancongan, kata menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Katanya, jumlah pelancong asing dijangka mampu menyumbang sebanyak RM144 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 berbanding RM48 bilion setahun, tahun lalu.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai untuk sentiasa menjaga kebersihan dan keindahan taman rekreasi di seluruh negara, memandangkan ia antara produk pelancongan terlaris di kalangan pelancong asing. “Sektor pelancongan satu industri penting kepada negara. Jadi, kita perlu meningkatkan daya saing negara kerana semua negara di dunia kini memberi tumpuan kepada sektor pelancongan. “Atas dasar itulah, kementerian melaksanakan kempen 1Malaysia Bersih, 1Malaysia Indah bagi mengubah sikap rakyat mengenai kepentingan menjaga kebersihan di taman rekreasi dan kemudahan yang disediakan seperti tandas,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen 1Malaysia Bersih, 1Malaysia Indah di sini, semalam.

Turut dilancarkan lagu kempen 1Malaysia Bersih 1Malaysia Indah dan maskot kempen iaitu Mr Bin. Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman. Kempen bertemakan ‘Hayati Pelancongan, Bertindak Demi Pelancongan’ itu bertujuan memupuk semangat cintakan keindahan dan kebersihan di kalangan rakyat , khususnya di destinasi pelancongan yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Katanya, kempen ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai implikasi kebersihan kepada industri pelancongan, supaya mereka bersama-sama menjaga keindahan dan kebersihan lokasi pelancongan negara. “Kerjasama semua pihak termasuk rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kementerian terbabit mampu memastikan taman rekreasi kekal bersih dan indah, sekali gus menarik minat pelancong kembali ke negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementeriannya akan melantik pakar landskap dan botani untuk memberi penarafan kepada semua taman rekreasi di negara ini, bagi memudahkan usaha mempromosi taman terbabit di luar negara antaranya Taman Tasik Seremban, Taman Botani Putrajaya dan Taman Tasik Perdana. Pada majlis itu, Kementerian Pelancongan menyumbangkan sebanyak RM617,000 kepada 617 kelab pelancongan di sekolah seluruh negara, bagi menjalankan kempen 1Malaysia Bersih, 1Malaysia Indah. Ng berkata, ahli kelab pelancongan itu akan memainkan peranan sebagai duta kecil dalam menyebarkan maklumat mengenai kempen berkenaan kepada masyarakat setempat.
-Berita Harian Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.