Monday 15 February 2010

Perbanyakkan promosi Langkawi


Dr. MAHATHIR Mohamad cuba mengendalikan My Ferry 2 sambil diperhatikan Ku Azhar Ku Razak (dua, kanan) di Jeti Kuah, Langkawi, semalam. - BERNAMA




LANGKAWI 14 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta pihak yang berkenaan memperbanyakkan promosi mengenai Langkawi untuk meningkatkan kehadiran pelancong ke pulau bebas cukai itu.

Beliau berkata, iklan mempromosikan Langkawi masih berkurangan dan yakin jika tarikan di pulau legenda itu diberikan promosi sewajarnya, jumlah pelancong pasti lebih ramai lagi.

"Potensi Langkawi untuk dijadikan destinasi pelancongan kepada Malaysia dibuat sejak saya menjadi Perdana Menteri selepas melihat keindahannya semasa bertugas di Langkawi," katanya pada persidangan media selepas melancarkan perkhidmatan feri penumpang My Ferry 2 di Jeti Kuah di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan JMV Ferry Services Sdn. Bhd., Ku Azhar Ku Razak.

Feri tiga tingkat milik JMC Ferry Services Sdn. Bhd. berharga RM7 juta itu boleh membawa 430 penumpang pada satu-satu masa dan merupakan feri terbesar beroperasi di Langkawi.

Mengenai perangkaan Kementerian Pelancongan bahawa kemasukan pelancong ke Langkawi menurun sejak tiga tahun kebelakangan ini, Dr. Mahathir berkata, perkara itu adalah bersifat sementara.

"Kita perlu tahu keperluan pelancong dan pengusaha-pengusaha di Langkawi harus bersiap sedia untuk memenuhi kehendak pengunjung," katanya.

Beliau juga menasihatkan peniaga di Langkawi supaya tidak terlalu mengejar keuntungan lebih dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya kerana ia boleh menyebabkan pelancong tidak akan datang kembali.

Selain itu, beliau gembira kerana sudah ramai pelancong negara Arab berkunjung ke Langkawi dan ramai pengusaha setempat membuka restoran Arab untuk keperluan pelawat negara Asia Barat. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.